Friday, June 15, 2012

Khutbah Terakhir dan Kesempurnaan Agama


Tarikh : 9 Zulhijjah, Tahun ke 10 Hijrah
Tempat : Wadi Uranah, Padang Arafah

....Dihadapan para sahabat dan Ribuan Jemaah, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang terakhir.

“Segala puji bagi Allah... Kita memuji,... meminta pertolongan,... beristighfar dan bertaubat kepada-Nya. Kita berlindung dengan-Nya daripada kejahatan diri dan keburukan amalan kita.... Sesiapa yang Allah berikan hidayat kepadanya, maka tidak ada siapa yang boleh menyesatkannya ...dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada siapa yang boleh memberikan hidayat kepadanya. Aku menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya... Bersaksilah bahawa aku (Muhammad) adalah hamba dan rasul-Nya... dan aku berpesan kepada kamu supaya mentaati segala perintah-Nya.

Aku membuka khutbahku ini dengan mukaddimah yang baik....Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampai kan pula kepada orang lain....Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku..

Wahai Manusia dan Sekalian yang hadir ! Sila dengar apa yang akan aku katakan ini... Aku tidak tahu apakah aku akan dapat bersama kamu semua lagi selepas tahun ini, di tempat ini selamanya.

Sesunguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan diri kamu telah terpelihara (diharamkan) sebagaimana diharamkan hari ini, bulan ini dan bandar ini (Makkah) dan kawasan sekitarnya... Sesiapa yang memegang amanah, maka dia hendaklah ia mengembalikan amanah tersebut kepada tuan punya... dan Ingatlah ! Segala amalan jahiliyyah telah berada di tapak kaki kamu (iaitu telah dihapuskan) ...dan Tuntutan hutang darah di zaman jahiliyyah (sebelum Islam) telah diampunkan...  Tuntutan darah pertama yang aku batalkan adalah darah Rabi’ah bin Al-Haris yang disusukan oleh Bani Saad kemudian telah dibunuh oleh Huzail.

Riba adalah haram.. dan aku memulakannya dengan membatalkan riba yang diterima oleh Abbas bin Abdul Mutalib.... Sesungguhnya ia dihapuskan keseluruhannya.

Wahai Manusia dan Sekalian yang hadir ! Takutilah akan Allah SWT di dalam urusan yang berkaitan dengan wanita... Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka sebagai amanah daripada Allah SWT dan mereka telah dihalalkan kepada kamu dengan kalimah Allah.... Wajib ke atas mereka untuk menjaga kehormatan kamu dan menjaga diri daripada melakukan perbuatan buruk... Jika mereka lakukannya maka kamu berhak untuk menghukum mereka tetapi bukanlah dengan pukulan yang mencederakan... Jika isteri-isteri kamu setia dan jujur terhadapmu, maka wajib ke atas kamu menjaga makan pakai mereka dengan baik.

Ketahuilah...Semua orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu tidak halal bagi seorang muslim mengambil harta orang lain kecuali setelah mendapat kebenaran daripada tuannya... dan jangan kamu kembali menjadi kafir selepas pemergianku, di mana sebahagian daripada kamu memerangi sebahagian yang lain.... Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya...itulah kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah ku.

Wahai manusia !!,...dengarlah bersungguh-sungguh kata-kata ku ini, Sembahlah Allah, Dirikanlah solat lima kali sehari, Berpuasalah di Bulan Ramadan dan tunaikanlah Zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat Haji sekiranya kamu mampu... Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain...Tidak ada kelebihan bangsa Arab terhadap bangsa lain...Kamu semua berasal daripada Adam... dan Adam telah dijadikan daripada tanah...Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah !, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku..

Allah SWT telah menetapkan hak menerima pusaka kepada keluarga si mati, oleh itu tidak boleh membuat wasiat kepada penerima pusaka... Sesungguhnya laknat Allah ke atas sesiapa yang mengaku sebagai bapa kepada bukan bapanya yang sebenar, juga laknat dari para malaikat dan seluruh manusia.

Kemudian kamu akan disoal tentang aku, maka apa yang akan kamu jawab ? "

Mereka yang hadir menjawab, “Kami bersaksi bahawa tuan adalah pesuruh Allah dan telah menyampaikan dan menyempurnakan risalah-Nya.”

Baginda lalu mengangkat tangannya ke langit dan menurunkannya ke arah orang ramai sambil berkata.....“Ya Allah! Saksikanlah.” (Baginda Rasulullah mengucapkannya sebanyak tiga kali)

Pada saat itu maka turunlah wahyu mengenai kesempunaan agama Islam.

“Pada hari ini telah disempurnakan bagimu agamamu, dan telah kucukupkan nikmat-ku kepadamu, dan telah kuredhakan Islam itu menjadi agama untukmu. (Al-Maidah ayat 3)


No comments: